Air mineral TaHa produk sulung Tabung Haji

 
  07 -Nov-2007
sourced from Utusan Malaysia
 
     
 
PENGELUARAN air mineral berjenama TaHa merupakan langkah permulaan Tabung Haji (TH) dalam menceburi industri pemakanan. Sekali gus menjadikan pelaburan itu sebagai satu lagi sektor utama pelaburan TH pada masa depan.

Majlis pelancarannya dirasmikan oleh Pengerusi TH, Tan Sri Abi Musa Asa’ari Mohamed Nor yang turut dihadiri Pengarah Urusan Kumpulan dan juga Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Ismee Ismail.

Air mineral TaHa akan diedarkan anak syarikatnya, TH Global Services Sdn. Bhd. Ia dibotolkan dalam saiz 500ml.

Menurut Abi Musa, produk sulung TH ini juga telah dinikmati oleh para bakal jemaah haji Malaysia semasa mengikuti kursus haji perdana peringkat Wilayah Persekutuan, Selangor dan Pulau Pinang yang berlangsung pada 27 dan 28 Oktober lalu.

Malah air mineral TaHa ini akan diberi percuma kepada setiap jemaah haji bagi musim haji tahun ini yang mana penerbangan pertama dijadualkan berlepas dari Kompleks Kelana Jaya pada 11 November 2007.

Tambah beliau, pihaknya akan meneruskan langkah mengkomersialkan jenama itu sekiranya pasaran menerima baik penjenamaan TaHa dengan mengembangkannya kepada produk makanan dan minuman lain pada masa akan datang.

“Saya percaya dengan strategi yang betul dan efektif, TH akan menjadi peneraju utama dalam industri pemakanan di Malaysia mahupun di persada dunia,” katanya pada majlis pelancaran air mineral TaHa dan rumah terbuka Aidilfitri TH di ibu pejabatnya di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Kata Abi Musa lagi, walaupun penglibatan TH selama ini sama ada secara langsung atau tidak dalam industri pemakanan, pelaburan baru ini akan memberi impak yang besar ke atas pulangan pelaburannya.

“Harapan TH agar agensi-agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang lain dapat memberi sokongan penuh terhadap produk-produk pengeluaran TH yang akan menyusul nanti.

“Bagi memastikan TH terus mengorak langkah dalam industri pemakanan, produk-produk di bawah jenama TaHa akan diperluaskan edaran,” katanya selaras dengan visi baru TH iaitu tunggak kejayaan ekonomi ummah.

 


 
   
 
 
   
Links | Sitemap | Tell A Friend | Search | Copyright © 2008 TH Global Services Sdn Bhd